Saturday, April 18, 2015

ATOK PULA PERGI

Akhirnya atok pergi jua. Sungguh pun disedari ia akan berlaku pada bila-bila masa, secara peribadi aku tetap tak putus-putus berharap agar ia bukanlah dalam waktu terdekat. Terlintas di hati aku pada hari wan ke rahmatullah terdahulu, biarlah atok tetap bersama-sama kami dalam tempoh lebih 5 tahun. Memang aku bukan Tuhan untuk menentukan cepat lambatnya nasib seseorang, namun tetap juga aku tetapkannya untuk menyedapkan hati sendiri biar pun tahap kesihatan atok yang dikira lanjut usianya tidaklah baik sangat. 

Dalam usia 87, memang dikira bonus jika dibandingkan dengan rakan-rakan seusia atok yang telah lama pergi dahulu (Tapi aku perhatikan ramai suku sakat atok seperti mak-mak dan bapak-bapak sedare atok memang brusia lanjut. Hanya ayah atok sahaja yang dikenalpasti pergi dalam usia yang muda, 20-an). Jadi, segala kemungkinan yang bakal berlaku sepatutnya patut kami hadapi dengan persediaan mental dan emosi. Lebih-lebih start atok mula disahkan ada masalah kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik, kami dah tahu saat atok pergi semakin hampir dari hari ke hari. Tapi mungkin sbb berfikir positif dan berdoa yang baik2 buat atok, membuatkan ada antara kami yang meneruskan kehidupan seperti biasa. (masih dalam keadaan kesal sebab mengambil masa yang lama untuk makan dan borak bersama-sama uda dan ucu. Mujur sempat berada di sisi atok di masa itu).

Bercerita tentang kejadian tadi, sekitar 10.30 aku menjengah masuk ke bilik atok. Masa melangkah masuk pintu pertama, Syida pula melangkah keluar sambil teresak-esak. Aku tidak ambil peduli sebab tau syidah tu memang begitu. Sejurus masuk, aku tengok abah dan kemal sedang mengurut dada atok. Kelihatan sukar untuk atok bernafas sebab ada terdengar macam jerih. Ucu dan uda pula menyangka atok nak buang kahak. Uda siap cari besen dalam toilet sebelum diserahkannya pada aku yang diminta uda mencapai tisu. Lepas tu aku yang berada di tepi kaki atok menghulurkannya kepada abah untuk disuakan kepada atuk. Tapi, atok seolah-olah macam cuba nak batuk tapi tak jadi. Yang berlaku atok menarik nafas panjang sebelum dilepas secara perlahan-lahan. Aku mula kaget. Abah dan Kemal cuba menyedarkan atuk. Dalam hati aku berharap-harap agar atuk cuma pengsan sebab penat bernafas tak lancar. Mana taknya, sejak 2 3 hari lalu susah sangat atuk nak bernafas. Malam tadi pun atok tak dapat nak tidur agaknya disebabkan nafasnya tak teratur macam orang asthma. Macam aku pun, kalu datangnya penyakit ni memang merana lah tak tidur semalaman sebab terdengar bunyi nafas sendiri selain dada berombak. Sementara si Azam yang sedang baca yaasin mula tersekat-sekat dan mahu berhenti tapi abah suruh teruskan bacaam. Pak Uda dari hujung katil sebelah memandang bersahaja. Apa yang bermain di fikirannya tak dapat aku pastikan. Ucu yang sedari tadi di sisi sebelah kiri atok berjuraian air mata. 

Melihatkan atuk tiada respon, abah minta aku call hidayah jika ada di sini. Tapi Yan jawab Dayah dan Arif tiada di sini. Arghh.. last2, aku minta semua datang. Masa tu aku tak berani nak kata atuk dah tak ada. Akhirnya abah suruh Kemal panggil pegawai kesihatan untuk mengesahkan ketiadaan atuk. Memang benar, atuk dah tiada sejak tadi. Mudah sangat. Kalau tengok drama kat tv tu, maa-syaa-Allah, payahnya ruh dan berpisah dengan jasad. Sedangkan atuk, tenang. Sekali lagi aku rasa tertipu (masa wan dulu tu aku rasa tertipu sebab menganggap selagi mana kaki wan hangat or x sejuk bermakna wan masih ada. Kira-kiranya, kalau ruh dah naik sampai ke lutut, bermakna kaki dah sejuk. Tapi rupa-rupanya teori aku salah. So, tadi, lepas tengok atok dah tak da, aku try pegang kakinya, memang masih hangat. Cuma yang aku harap, atok pengsan saja. Tapi, aku saja yang menipu diri). Aku ni pun satu, bukankah dulu masa beberapa orang kaum Yahudi cuba menguji nabi tentang persoalan ruh, nabi menjawab berdasarkan firman Allah yang mafhumnya, 'Tatkala kamu ditanya mengenai ruh, katakanlah (wahai Muhammad), ianya di dalam pengetahuan Allah semata-mata'. Tak apa, nanti aku tanya Dr. Hidayah kalau dia dapat explain sikit tentang teori aku yang ternyata meleset tu walau pun sedar, perkara-perkara metafizik ni para doktor pun tak mudah nak beroleh jawapannya.

Perginya atok antara jam 10.30-10.40 pagi biar pun dalam sijil kematiannya 11.00 pagi. Ah, sama saja, yang pasti atok dah pergi. Cuma perginya atok ni tidak terlalu menganggu emosi aku seperti mana masa wan tahun lepas. Masa wan, maa-syaa-Allah, bukan aku je yang berjurai air mata, majoriti suku sakat yang lain pun sama. Tapi bila atok ni, mungkin ramai yang tabah. Hanya ketentuan-Nya, kami tak menyangka hari ini adalah hari untuk atok pergi tanpa dapat kami ramai-ramai di sisi atok macam wan dulu. Nak mengungkit sesiapa yang tak bergegas balik bilamana di maklumkan keadaan atok yang semakin uzur, benda tu dah berlaku. Mujur aku tak tergeark hati nak keluar ke Sepang untuk latihan nasyid negeri. Tak apalah, yang penting waris-warisnya sentiasa mendoakan kesejahteraan buat atok. Pak Ngah pulak, siap tanya, 'perlukah kita bersedih?' Ishk, susah aku nak jawab. Tapi pada aku, bergantuglah pada diri masing-masing. Tak salah pun nak bersedih sebab itu satu proses kita bermuhasabah diri mengenai hubungan kita dengan mana-mana arwah tu. Mungkin ada manis, pahit, masam dan masin yang boleh kita imbau untuk kita tergerak hati secara berterusan mendoakannya. Kalau buat slumber macam tak ada apa-apa berlaku, macam something wrong pula kot biar pun 'hidup perlu diteruskan'. Nabi pun tak larang. Cuma jangan meratap merayu sudahlah. Sedeh, tapi tidak ditunjukkan.

Allahu rabbi. Rasa pelek malam ni tak buat rutin biasa. Masuk bilik atok petang-petang dan sembahyang jemaah dengan atuk sebelum tengok berita sama-sama dan makan malam. Kemudian cek tekanan darah, timbang berat n bagi makan ubat. Ya Allah... Tak pernah aku rasa rutin itu satu bebanan. Aku dah biasa dengan rutin itu sejak hampir setahun lalu biarpun aku sibuk dengan hal-hal sekolah. Lagi ralat kalu atok kata, kalau aku tak makan, atok tak nak makan. Kalau aku berkursus berhari-hari, atok merungut asik berkursus je. Kalau balik petang-petang pun sama, katanya, cikgu mana ada kerja sampai petang. Ishk. Tu zaman cikgu Zainal memanglah, tok....

Selepas seluruh waris dan suku sakat dihebahkan tentang atok, seawal jam 11.30 ramai dah datang. Kami seisi rumah sibuk mengemas rumah untuk persediaan pengurusan jenazah, layat n solat. Rasanya pantas juga kami buat sebab dah ada pengalaman setahun lalu. bezanya, dulu ada masa panjang nak buat sedari malam bawa ke pagi. Tapi tadi, hanya menhambil masa beberapa jam saja semuanya dah siap. Rata-rata yang datang tertanya-tanya apa sebab kematian atok. Ada juga yang bertanya-tanya kenapa tak beritahu keadaan atok sebelum ni. Atok sakit apa, dan lain-lain respon saudara-mara.

Sepanjang menguruskan jenazah atok, tak da pula yang menyulitkan. Daripada pemandian hingga mengkafankan serta solat. Hatta di kburan pon mudah dan cepat. Ada yang bertanya orang masjid dah datang ke untuk mandikan jenazah? kain kafan dah ada semua ke, siapa potong? Imam masjid dah diberitahu untuk solat jenazah ke? Ada pula yang menjawab, 'Nizam dah uruskan', 'anak-anak ucu yang mandikan' dan lain-lain jawapan sesama mereka. kelihatan mereka seakan-akan percaya dan tidak percaya bilamana semuanya diuruskan oleh anak cucu atok sendiri. Alhamdulillah, tiada yang meragui.

Apapun kini, aku dan kami semua yang lain, perlu menerima hakikat atok dah tiada. Atok pergi dengan tenang dan mudah. Proses menguruskannya pun lancar. Apa lagi yang mahu aku kesalkan? Hampir semua cucu atok dapat melihat wajah terakhir atuk. Tidak perlu aku ragui tentang amal ibadah serta jariah atok sebagai bekalan ke alam sana. Dalam diam aku sendiri 'admire' dengan sifat pemurah atok. Contohnya, biarpun atok sejak setahun lalu tidak lagi ke masjid, atok hulurkan sejumlah duit yang diperutukkan dalam tabung masjid semasa solat Jumaat melalui aku saban bulan. Katanya, niatkan untuknya dan wan. Sekarang dan untuk hari-hari yang seterusnya, in-syaa-Allah akan ku konsisten dengan saranannya itu.

Bercakap mengenai kenangan, pastinya setiap daripada kami ada cebiasan kenangan bersama-sama atok terutamanya di akhir-akhir hayatnya. Biarlah ia tersimpan di hati masing-masing. Aku sendiri belum ada kekuatan untuk mencatatnya satu demi satu. Catatan ini pun, biarlah menjadi bahan sejarah pada anak cucu cicit atok jika ada di suatu masa nanti mahu mengenali siapa atok.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fua'anhu.




                                                                    

No comments:

Post a Comment